“ K! Meja nombor 7.”
“ Ok!” K tatang dulang berisi gelas-gelas minuman yang dipesan oleh pelanggan.Sampai ke meja nombor tujuh, gelas-gelas itu diagihkan. “ Enjoy your drinks.” ucap K dengan senyuman sebelum berlalu pergi.
Kerja sebagai pelayan memang penat. Ke sana ke mari ambik order hantar order. Tu belum nak dengar rungutan pelanggan lagi tu. Terpaksa menadah telinga dengar segala caci maki yang kadang-kadang tak berasas itu. Kalau kurang sabar, memang boleh jadi pergaduhan tapi nasib baik K ingat yang diri dia cari rezeki jadi nak tak nak kena jugak sabar. Sabar separuh dari iman.
K menghela nafas panjang. Rasa macam tak cukup nafas dia nak terkejar ke sana ke mari. Kenapa hari ini banyak sangat pelanggan? Sampai tak cukup kakitangan ni nak ambik order.
“ K!”
Baru nak rehat, K dah didatangi oleh Eypul yang juga merupakan pelayan di restoran itu. “ Apa dia? Aku dah semput dah ni...” K masih bersandar lemah di belakang kaunter.
Eypul sengih. Dia pun rasa apa yang K rasa. Pelanggan hari ini memang super banyak! “ Ni ada orang bagi...”
Sekeping kertas kecil berwarna putih dah bertukar tangan. “ Apa ni?” K agak blur bila terima satu kertas yang ada tulis nombor. Bila masa pulak dia pernah main nombor ekor ni?
“ Nombor telefon, mangkuk! Tu pun tak tahu ke?”
K sengih. “ Siapa bagi?”
“ Tu... Yang pakai baju merah tu..”
K terus melihat siapakah gerangan yang ditunjuk oleh Eypul. Ohh, gadis yang tengah minum-minum dengan geng dia. “ Mak mati aku!” terus dia berpaling ke arah lain bila gadis itu menoleh ke arahnya. Kantoi!
Eypul gelak. “ Untung kau! Awek cun tu beb!”
“ Kalau kau nak kau ambik laa..” K dengan muka sombong melangkah mendekati sebuah meja yang baru diduduki oleh pelanggan.
Dia lantas menjalankan tugasnya. Malas nak fikir pasal tadi. Ni bukan pertama kali dia dapat surat macam tu, dah banyak kali dah. Yang banyak bagi, mestilah budak-budak sekolah yang tangkap leleh tengok wajah dia yang boleh masuk kategori cute tu. Tambah-tambah lagi dengan lesung pipit di pipi. Lagilah awek-awek gila bila tengok dia senyum.
Bukan nak menyombong. Bukan jugak nak perasan bagus apa segala. Dia cuma malas nak layan. Dia tak nak bagi harapan kosong. Dia tak mungkin jatuh cinta dengan mereka-mereka tu semua. Tak mungkin! Jadi perkara yang tak mungkin macam tu lebih baik lah jangan dilayan sangat. Buat buang masa saja. Dia memang tak berminat. Mintak maaf banyak-banyak.
“ K!!!!”
K kenal suara itu. Dia melangkah keluar dari dapur dengan gelas jus kat tangan. “ Ye, encik berdua? Nak minum apa? Kami ada minuman sejuk dan panas. Makanan pun sedap-sedap. Hari ini yang special nya sup ekor cicak dengan sambal semut. Perghhh! Memang marvelous lah encik!” dia terus masuk mode pelayan restoran yang bertauliah.
“ Kitaorang nak culik kau!”
“ Culik ya encik?” K tersengih. Baik betul penculik berdua ni. Siap bagitau dulu sebelum bertindak. “ Tapi saya sedang bekerja ni encik... Apa kata encik datang lain kali?” K buat muka bersahaja.
Salah seorang encik tadi tu dah menonong masuk dapur. Dan seorang lagi masih berdiri kat depan K dengan kening yang terangkat sebelah.
“ Kening takleh turun ehh?” soal K dengan muka tak bersalah.
“ Banyaklah kau!” visor cap merah biru itu ditepuk hingga membuatkan cap menutupi mata si pemakai.
Dengan muka yang sabar penuh reda, K mengatur semula posisi cap di kepalanya. Kenapa semua orang suka sangat main dengan cap kat kepala aku ni?
“ Big boss dah bagi green light! Jom kita culik dia!” Denn keluar semula dari dapur mendekati K dan Miqhal.
“ Apa culik-culik ni? Tak nak laa..” K merungut. “ Aku nak kerja. Cari duit.” dengan nada yang serius.
Miqhal dan Denn berpandangan sesama sendiri kejap sebelum berpaling tengok K yang masih lagi dengan muka serius.
“ Dah. Dah. Jangan nak jadi mata duitan sangat... Kau nak ikut kitaorang ke tak?” ujar Miqhal sambil mata merenung K yang masih tak berganjak dari tempatnya. “Eh no! Benda ni kau tak boleh pilih. Nak ke tak nak ke, kau kena jugak ikut!”
“ Tak nak. Aku nak kerja. Nanti Ad potong gaji aku, mak aku kat rumah tu nak makan apa? Kerusi? Meja?” K masih berdegil. “ Kalau kerusi tu boleh bertukar jadi nasi, aku tak kerja tau tak?” selorohnya lagi.
Sekali lagi visor cap K ditepuk kuat oleh Miqhal. K jerit geram. “ Kalau Ad berani potong gaji kau, bagitau aku! Aku ‘potong’ restoran ni!” bebaur ugutan.
K mencebir. Macamlah berkuasa sangat. Tapi memang berkuasa kut sebab rasa-rasanya Miqhal boleh beli restoran ni kalau dia nak. “ Nak pergi mana ni?” dia terduduk di bawah kaunter. Dah tak larat dah rasanya nak berdiri. Cap dibiar menutupi matanya.
“ Kau ni banyak tanya lah K! Dah! Dah! Kita gerak sekarang!” Miqhal tarik tangan K bawak keluar dari restoran.
Denn membuntuti dari belakang. Nampaknya, misi menculik K berjaya!
***
“ Dah berapa lama kau tak tengok bintang macam ni?”tanya Miqhal tanpa berpaling pada K yang tengah baring disebelahnya.
Malam yang indah dengan cuaca yang baik dan panorama yang menarik dengan langit yang diterangi bintang-bintang yang berkelipan. Memang indah ciptaan-NYA. Suasana di bukit itu seperti biasa. Just Ice-Cream yang terletak dihujung sana masih beroperasi lagi dan nampaknya masih banyak pelanggan. Dan pengunjung Bukit Indah ni juga masih ramai. Ada pasangan yang bercinta, ada geng-geng sekawan yang lepak dengan gitar apa semua. Macam ni lah selalunya keadaan di sini. Walau ramai orang, tapi ketenangan yang dicari tetap akan didapati di Bukit Indah yang memang seindah namanya.
K tak memberi apa-apa reaksi. Soalan yang diajukan oleh Miqhal macam tak menyapa gegendang telinganya tapi sebenarnya dia mendengar dan sempat mencerna maksud tersirat soalan yang keluar dari mulut Miqhal sebentar tadi.
Kalau nak difikir-fikir balik, memang dah lama juga dia tak membuang masa dengan melepak di Pegasus Cinema macam tadi dan baring di bukit ni untuk tengok bintang macam sekarang ni. Akhir-akhir ni dia sangat sibuk dengan kerja.
Sekarang ini dia bukan hanya berkhidmat di Ours Diner tapi jugak di Juana Karaoke. Kerjanya di Juana Karaoke bermula satu jam selepas kerjanya di restoran berakhir iaitu pada pukul 11 malam. Kerja hantar ambil pesanan macam seorang pelayan juga cuma kadang-kadang dia jadi tukang jaga kaunter. Kerja itu diperolehi atas jasa baik seorang kenalan yang juga merupakan pekerja senior di pusat karaoke tersebut.
Dan kerana itulah rutin hariannya semakin padat. Hanya akan balik ke rumah selepas pukul 2 pagi. Nak cari duit punya pasal sanggup bersengkang mata. Puan Khalija memang tak bersetuju apabila diberitahu tentang kerja di pusat karaoke tu, tetapi setelah dipujuk banyak kali oleh K, akhirnya dia mendapat keizinan dari emaknya.
“ Wei, aku tanya ni.” Miqhal menyiku K yang langsung tak bersuara.
Denn dah selamat dihantar balik ke rumah setelah mendapat panggilan telefon dari ibunda tercinta mengatakan yang the whole family tengah tunggu dia. Kira macam family gathering lah tu dan mestilah Denn sebagai anak kesayangan kena berada di situ.
“ Kenapa bintang tu terang semacam ehh?” K buka topik lain sambil tangan tunjuk ke langit.
“ Sebab bintang tu reti nak jawab soalan orang! Bintang-bintang yang lain tak reti! Bila orang tanya diaorang, diaorang buat bodoh! Sebab tu lah tak bersinar!” jawab Miqhal dengan nada geram. K memang suka ‘lari’ dari soalan dan Miqhal bukan Denn atau Ad yang akan terus berhenti dari ‘mengejar’. Dia akan ‘kejar’ sampai dapat.
K sengih. “ Ohhh...” sengaja ‘ohh’ nya dipanjangkan.
Bila dengar jawapan K yang agak menyakitkan hati tu, Miqhal terus bangkit dari baring dan duduk menghadap K. K masih dengan muka bersahaja tengok bintang.
“ Berapa banyak duit kau perlu?” Miqhal memang sudah maklum yang K bukannya berasal dari keluarga senang. Kalau K dah kerja sampai tak ingat dunia, tu mesti sebab terdesak sangat nak pakai duit. Dan dia sebagai seorang kawan mestilah memberi pertolongan untuk meringankan beban. Macam tagline rancangan Bersamamu kat TV3 tu, ‘Hulurkan tangan ringankan beban’. Chewahh..
“ Sepuluh juta.”
“ I’m serious!” Miqhal tahu K bergurau.
K gelak. “ Kau nak tolong sangat kan? Esok kau transfer sepuluh juta ke akaun bank aku... Boleh?” dia pandang yang tengah tengok dia dengan muka tak puas hati. “ Asal kau pandang aku macam tu?” K sengaja buat-buat tak faham.
“ Aku cepuk kau kang! Free je masuk hospital!” Miqhal mengetap bibir geram.
“ Cehh!” K mencebir sambil menahan gelak. “ Ada hati tu nak cepuk orang! Tak sedar ke kau tu spesies manusia yang tidak dapat dijentik walaupun sedikit kerana akan meninggalkan kesan seperti lebam kebiruan??” perli K dengan bahasa baku. “ Spesies yang jarang ditemui. Agak istimewa lah kau ni kan?” K sengih.
Miqhal merengus tak tahu nak jawab apa sebab itu kenyataan. Tak tahu kenapa tubuh badannya sangat sensitif dengan sebarang kekasaran. Cubit sikit terus lebam. Itu baru cubit... Kalau lebih dari tu, tak tahulah apa nak jadi. Terus masuk ICU kut?
“ Tell me K... I wanna help.” Suara Miqhal kembali serius.
Sengih K mati. Miqhal memang suka menolong orang. Dan K dah banyak sangat terhutang budi dan terhutang money dengan Miqhal. Takkan lah kali ni pun nak mintak tolong Miqhal jugak? Tak boleh.
“ Berapa banyak kau perlu?”
“ Nothing much. Aku masih mampu cari sendiri.” K senyum nipis lalu bingkas duduk. Lama sangat baring kang tak boleh nak angkat pulak. Syaitan dah bawak geng bergayut kat kelopak mata ni! Mata macam susah nak bukak je!
“ Just tell me how much is your ‘nothing much’?” Miqhal masih mendesak.
K tunduk. Lyqa perlu beli buku rujukan untuk PMR yang akan datang. Sewa rumah dah tiga bulan tertangguh. Bil elektrik bil air. Oh God! Kalaulah arwah ayah masih ada, aku takkan perlu bersusah payah macam sekarang ni. Hmm.
“ Aku bukannya nak berlagak yang aku ni kaya ke apa... Tapi kalau aku mampu, aku akan tolong K. Aku tak suka tengok kau macam ni. Berapa jam je kau rest dalam sehari?” soalan Miqhal dijawab dengan senyum hambar dari K. “ Kau manusia. Kau bukan robot. You need rest, K!” Miqhal dah masuk mode seorang kawan sejati.
“ Aku bukan taknak suruh kau tolong..tapi kau dah banyak sangat tolong aku, Miqhal. Aku taknak susahkan kau. Aku taknak jadi kawan yang menyusahkan kawan. Tolonglah faham!” tegas K.
“ Dan aku taknak jadi kawan yang hanya mampu tengok je kesusahan seorang kawan tanpa berusaha nak tolong! Kalau susah sangat nak terima free, aku kasi pinjam! Kau boleh bayar aku bila kau dah ada duit nanti.”
K mengeluh. Untuk berkata ‘tidak’ kepada seorang makhluk yang bernama Muhammad Daiym Miqhal memang teramat sukar.
“ Berapa?” soal Miqhal lagi.
Dan akhirnya K mengalah...
U-TURN
No comments:
Post a Comment